Thursday, May 2, 2013

Akhirnya kita sendiri yang kena putuskan

1. Falsafah memilih kerajaan. Kita pilih kerajaan untuk buat kebaikan. Kita tidak pilih kerajaan untuk buat keburukan. Apabila kerajaan yang kita pilih melakukan kebaikan kita tidak perlu memujinya melangit atau berasa terhutang budi. Tetapi kalau kerajaan yang kita pilih itu melakukan keburukan, kita wajib menegur dan mengkritik. Kalau ia tidak berubah, kita tarik balik sokongan kita dan kita gugurkannya apabila tiba pilihan raya. 

 2. Kita bukan hamba Wakil Rakyat, Menteri dan Perdana Menteri. Merekalah “hamba” kita kerana kitalah yang memilih mereka dan memberikan gajian kepada mereka dengan duit cukai kita. Tanpa undi kita, mereka tidak akan menjadi Wakil Rakyat, Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri. 

 3. Secara peribadi, batang jerami pertama yang mematahkan belakang kerbau (meminjam dan memadankan ungkapan the straw that breaks the camel’s back) adalah penghapusan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan disusuli oleh pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat dan Akta Buang Daerah. (Tanggungan Kerajaan Pusat dan Parlimen). 

 4. Bandar dan pekan yang kotor penuh sampah-sarap, tikus dan anjing liar. Longkang yang ditutup dan dilupakan – busuk dan melimpah apabila hujan lebat. Pokok ditumbangkan ribut tidak dipindahkan berbulan-bulan lamanya (Jalan Klang Lama) kerana pegawai tinggi kerajaan lebih sibuk ampu Yang Berhormat daripada berkhidmat untuk rakyat. (Kerajaan Pusat dan negeri).

 5. Keselamatan awam yang semakin meruncing. Jenayah yang semakin menjadi-jadi walaupun KPI dan NKRA kononnya tercapai. Pengarah Kastam mati ditembak siang hari buta di Putrajaya dan Pengarang Urusan akhbar arus perdana yang menguar-uarkan negara aman, negara selamat, KPI hebat, NKRA mencapai matlamat, dirompak di khalayak di kawasan kelas menengah Taman Tun Dr Ismail. Apakah kita sudah lupa kepada janji SAM – selamat, aman dan makmur ketika PRU lalu? (Kerajaan Pusat). 

 6. Kalau kita makmur dan KDNK berkembang pesat, inflasi rendah dan mata wang Ringgit kuat, mengapakah ratusan ribu rakyat jelata berpusu-pusu berebut mendapatkan BR1M, orang merempat semakin banyak di ibu kota dan roti canai semakin kecil ukurannya? (Kerajaan Pusat). 

7. Terowong kenderaan di bawah NKVE berhampiran Tropicana banjir setiap kali hujan lebat sejak dibuka untuk kegunaan umum lebih dua tahun lalu dan Jalan Syed Putra bersebelahan Sekolah Kuen Cheng berubah menjadi tasik setiap kali hujan lebat sudah bertahun-tahun lamanya. Alahai hebatnya jurutera JKR dan Bandaraya Kuala Lumpur. (Kerajaan Pusat dan Negeri Selangor). 

 8. Keamanan negara dinodai oleh penceroboh bersenjata Filipina dan pemubunuh upahan bermaharajalela kerana ada Menteri-Menteri yang terlena. Tauke judi haram, pengusaha rumah pelacuran, ketua sindiket along dan samseng jalanan yang bebas lepas kerana tidak ada Akta Buang Daerah dan Ordinan Darurat kini, saling berbunuhan dan memangsakan rakyat jelata. (Kerajaan Pusat).

 9. Dan campur tangan anak bini, peniaga permaidani, tukang serapah dan tukang jampi, kawan rakan dan teman dan taulan dalam urusan pentadbiran.

Sumber asal,Dato A Kadir Jasin

No comments: