 
Assalamualaikum..
Ramadhan ni aku semacam seronok mengkaji dan mendalami kisah lagenda bergelar manusia lupa daratan yang allah beri kekayaan,tapi kufur akibatnya segala kekayaan Allah lenyapkan sekelip mata.Al-Qur’an memperkenalkan Qarun sebagai orang yang berasal dari kaum Nabi  Musa (a.s.). Meskipun datang dari kaum yang sama (Bani Isra’il), mereka  tidak sehaluan. Sementara Musa (a.s.) adalah pemimpin-pembela kaumnya,  Qarun pula adalah penindas dan pemeras kaumnya sendiri.
Qarun juga dikatakan mempunyai posisi politik yang cukup strategik.  Sebagai salah seorang anggota kabinet Fir’aun, tentu sahaja beliau telah  menggunakan posisi politiknya itu untuk mengaut keuntungan peribadi.  Selain itu ia juga mempunyai cita-cita politik mengambil alih  kedudukanMusa (a.s.) sebagai ketua kaum Bani Isra’il.
Al-Qur’an memberikan pemerian tentang penampilan Qarun yang suka  mempamerkan kebesaran dan kekayaannya. 
 
Kebiasaan ini dilakukan bukan  tanpa motif tertentu. Ia adalah suatu strategi menarik perhatian ramai  agar ia dikagumi sebagai wira dan idola.
 Dengan mempamerkan kekayaannya ia juga bermaksud menghantar mesej  bahawa ia mampu melakukan segala-gala, mengupah, membeli dan membiayai  apa sahaja dan berapa sahaja. Seolah-olah ia mahu memberi amaran kepada  sesiapa sahaja, jangan cuba-cuba mencabar aku!.
 Dalam pemerian selanjutnya al-Qur’an menyebut tentang adanya kelompok  yang memang mengagumi Qarun; iaitu golongan mata duitan yang terlalu  ghairah untuk menjadi kaya dengan cara apa sahaja. Bagi kelompok  materialistik ini, Qarunlah yang menjadi idola pujaan. Mereka ingin  menjadi Qarun, kerana ia adalah lambang kejayaan seorang usahawan,  kejayaan yang hanya diukur dari jumlah yang tertimbun, tanpa mengambil  kira dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.
 Qarun memang menjadi idola oleh para pengagumnya, tetapi pada hakikatnya  fenomena keqarunan adalah gejala kehancuran. Kerana itu Qarun  mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragik, hancur luluh  ditelah bumi.
 
 Al-Qur’an memberikan gambaran, bagaimana Qarun terbenam ke  dalam bumi bersama rumahnya sekali.
 Dari sekian banyak hartanya yang turut musnah, al-Qur’an secara  khusus menyebut rumahnya. Mungkin rumah mewahnya (pintu-pintunya  diperbuat daripada emas) itulah yang menjadi simbol kekayaan dan  kebanggaannya selama ini. (al-Qasas: 76-81). Qarun  memang bersalah kerana memeras, menyalahgunakan kekayaan untuk membiayai  kegiatan-kegiatan khianat dan pelbagai kezaliman lain lagi. Tetapi ada  lagi yang wajar disalahkan, iaitu sistem yang mengizinkan fenomena  keqarunan itu berlaku. Sumber – Dr Siddiq Fadzli
 Rujukan Al-Barawiy, Rashid, 1978. Al-Qasas al-Qur’aniy:     Tafsir Ijtima’iy. Kaherah: Dar al- Nahdah     al-‘Arabiyyah