Firman Allah SWT: “Dan adapun orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang baik (syurga), maka Kami akan menyediakan baginya (jalan) yang susah. Dan apabila dia telah binasa, hartanya tidak akan bermanfaat baginya.” (Surah al-Lail, ayat 8-11)
Golongan kaya harus bersyukur dengan nikmat Allah SWT kepadanya. Allah SWT akan menambah kurnia-Nya kepada hamba yang bersyukur dan melaknati mereka yang angkuh dengan kekayaan.
Harta menjadi ujian besar kepada manusia hingga ada yang memilih kufur disebabkan sayangkan harta. Inilah yang dilalui oleh Qarun apabila ingkar mengeluarkan zakat, sedangkan sebelum itu dia termasuk golongan beriman dan menjadi pengikut setia kepada Nabi Musa.
Betapa indahnya ajaran Islam dalam soal rezeki dan harta. Mencari rezeki dikira jihad dan membelanjakannya kepada kebaikan juga satu pahala.
Maka sepatutnya setiap muslim berlumba-lumba mencari rezeki kerana bukan saja untuk memenuhi keperluan hidup di dunia, bahkan lebih penting lagi memberi kebaikan untuk bekalan di akhirat.
Rezeki yang diperoleh hendaklah dibelanjakan dan sedikit disimpan untuk kegunaan masa depan. Harta juga perlu dibelanjakan ke jalan Allah SWT, iaitu hal berkaitan kebajikan seperti zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya. Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment