Sunday, July 24, 2011

Akhir bukan bererti tamat


Assalamualaikum..

Pemergian Almarhumah Dr. Lo' Lo' bte Ghazali agak mengejutkan, namun bagi mereka yang hampir dengan beliau, mungkin sudah mengetahui akan kondisi kesihatan beliau yang dilaporkan meninggal akibat kanser.

Kehilangan beliau amat dirasai oleh pejuang-pejuang yang dalam usaha untuk menegakkan semula kebangkitan Islam apatah lagi para muslimat yang sentiasa mendapat pelbagai nasihat dan pandangan daripada beliau yang boleh dianggap sebagai serikandi yang banyak berjasa dan memberi contoh teladan bahkan telah membuka mata para muslimat di Malaysia khususnya bahawa seorang wanita juga mempunyai peranan dan ada fungsinya dalam pembangunan negara.

Jasanya pelbagai, dan mungkin berbeza daripada icon muslimah lain yang terdapat di Malaysia, namun perjuangnya asli, mahu melihat Islam bertapak kembali. Anak kepada bekas mufti ini dikatakan banyak memberikan sumbangan dalam perjuangan Islam di Malaysia. Justeru, ketiadaan beliau bukanlah suruhan untuk mengakhirkan langkah.

Allah swt lebih menyayangi beliau, tidak sempat menunggu ramadhan, beliau telah dijemput kembali ke asal-usul kejadian. Itu beliau, sudah punya bahagian yang menanti di sisi ar-Rabb. Nasihat kepada kita yang masih terus hidup ini janganlah lemah hanya kerana hilangnya sepasang pemikiran dan tenaga, ingat 'walaupun gigi itu patah sebatang, namun ia masih boleh mengunyah dan memberi fungsi'.

Firman Allah swt dalam surah Ali-Imran ayat 169, bermaksud:

"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup, disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki."

Kita yang hidup masih perlu melakukan rangkak-rangkak perjuangan yang belum lagi kedengaran semboyan penamat. Almarhumah Dr Lo' Lo' Ghazali telah memulakan langkahnya, yang belum selesai harus ditamatkan, yang berbaki harus dilaksanakan dan ditunaikan.

Muslimah harus konsisten, apakah kita inginkan kedatangan ke bumi ini dengan kosong dan pulang juga kosong? Tentu tidak, sekurang-kurangnya kita punya sesuatu untuk dibanggakan di sisi tuhan pencipta.

Nasihat kepada saya, sebagai insan bernama adam serta sekalian adam, bahkan ditujukan juga kepada sekalian hawa. Kematian bukan penamat, tetapi sebagai jemputan untuk beristirehat, kematian tidak sepatutnya melemahkan, bahkan lebih menguatkan kerana berakhirnya sesuatu kehidupan bukan berertinya tamat urusan dunia.

Sabda Baginda SAW: Apabila matinya insan, maka putuslah segala amalannya melainkan tiga, sedekah jariah, ilmu yang dapat dimanfaatkan, anak soleh yang mendoakan untuknya. Riwayat Muslim.

WaAllahu a'alam...

Mohamad Ariff bin Abdul Sarip
Universiti Mutah, Jordan.
22 Julai 2011M / 20 Sya'ban 1432H

No comments: