Sunday, August 15, 2010
Hati-hati dengan Niat kita bila beribadah,haruslah kerana Allah bukan kerana pahalanya.
Assalamualaikum..
Memang biasa kita dengar tentang kelebihan solah sunat Tarawih.Ada yang sanggup solah terawih semata-mata untuk mengejar ganjaran yang kononya allah tawarkan pada setiap malam dengan ganjaran berlainan.Dulu aku selalu mencari dan sampai sekarang masih mencari kasohehan hadith tersebut namun belum jumpa.Oklah kita tengok dulu kelebihan solah terawih yang aku dok ceritakan sebagai hadith yang lemah lagi doif.
Malam 1: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan daripada Allah....
Malam 2: Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang yang beriman).
Malam 3: Berseru malaikat di bawah arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4: Memperoleh pahala ia sebagaimana pahala orang- orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.
Malam 5: Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat- malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (70,000 malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.
Malam 7: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi a.s. menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamam.
Malam 8: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Malam 9: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
Malam 10: Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11: Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12: Datang ia pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13: Datang ia pada hari kiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam 14: Datang malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari kiamat.
Malam 15: Semua malaikat yang menanggung arasy, kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16: Allah s.w.t. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Malam 17: Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak-banyak pahala Nabi-nabi.
Malam 18: Seru malaikat: Hai hamba Allah! Sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih
hidup atau mati).
Malam 19: Allah s.w.t. tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.
Malam 20: Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21: Allah binakan sebuah istana di dalam syurga daripada Nur.
Malam 22: Datang ia pada hari kiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tiada dalam keadaan huru-hara di padang Mahsyar)
Malam 23: Allah s.w.t. binakan kepadanya sebuah bandar di dalam syurga daripada Nur.
Malam 24: Allah buka peluang dua puluh empat doa yang mustajab bagi orang yang berterawih pada malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).
Malam 25: Allah Ta’ala angkatkan daripadanya siksa kubur.
Malam 26: Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama empat puluh tahun ibadat.
Malam 27: Allah kurniakan kepada orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratal Mustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya seribu darjat di akhirat.
Malam 29: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya pahala seribu kali haji yang mabrur.
Malam 30: Allah s.w.t. beri penghormatan pada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman yang bermaksud: Hai hambaKu! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingin makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kauthar.
Aku rasa ramai pembaca diluar sana pun dah pasang niat lain bila terbaca kelebihan solah tarawih diatas sebab terpesona dengan ganjarannya.Itulah yang menjadikan amalan kita tak diterima walaupun hadits tersebut soheh sekalipun sebab tujuan kita beribadah ialah kerana Allah,bukan ganjarannya..kalau hadith tu Doif macam diatas...???..hancusss...!
Syeikh al-Qaradhawi dalam membicarakan (Kaifa nata’amul ma’a al Sunnah al Nabawiyyah) menjelaskan ada 3 perkara yang perlu dipegang oleh setiap Muslim supaya ia terselamat dari Bid'ah dan takwilan secara jahil:
Pertama: mempastikan kesahihan sesebuah hadith berdasarkan timbangan ilmiah oleh para muhaddithin (ulamak hadith).
Kedua: memastikan kefahaman yang betul terhadap maksud sesebuah hadith.
Ketiga: memastikan sesebuah hadith tidak bercanggah dengan nas yang lebih kuat darinya yaitu dari alQur’an dan hadith-hadith lain yang lebih kuat kedudukannya.
Imam Syafi’e yang mulia telah berpesan,” Izaa Sohhal Hadith Fahuwa Madzhaabi” (apabila sahihlah sesebuah hadith, maka itulah madzhabku.”)
Berbalik kepada hadith popular bulan Ramadhan (fadha-il Malam- malam Tarawikh Imam Ali) gagal melepasi tahap pertama: Tidak thabit atau tidak disahihkan oleh mana-mana Imam Hadith. Tanyalah kepada mana-mana ahli hadith dan sudah pasti dia tidak akan jumpa hadith tersebut dalam Kutub asSittah (kitab hadis yang enam): Bukhari, Muslim, atTurmudzi, Abu Daud, anNasa’iy dan Sunan Ibn Majah.
Manakala ia tidak menepati tahap kedua, yakni bercanggah dengan kefahaman sebenar tentang tasawwur puasa dan tidak sesuai dengan nilai keilmuan dalam Islam. Puasa dalam Islam yang dijelaskan oleh sumber yang sahih ialah sebagai salah satu jalan kepada taqwa. Taqwa itulah objektif puasa dan taqwalah jalan kemenangan dan kejayaan umat Islam dunia dan akhirat. Metod fadhilat adalah untuk mereka yang lemah akalnya dan masih kebudak-budakan yang amat terangsang dengan fadhilat dan kebendaan.
Hadis ini kemungkinan direka oleh Syi’ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali KarramallahuWajhah yang di dakwa oleh Imam-imam Syi’ah banyak menerima hadis-hadis khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.
Hadis ini juga bertujuan memikat golongan awam yang jahil dengan pelbagai kisah dan riwayat. Ia direka oleh penglipurlara jahat supaya masyarakat jahil terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Penglipurlara ini giat aktif di zaman Imam Ahmad Ibn Hanbal.
Hadis ini juga mungkin direka oleh ahli zuhud dan tasawwuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan orang awam yang jahil supaya giat beribadat tanpa ilmu.
Demikianlah penjelasan AsSyaikh Mustafa asSiba’iy dalam kitabnya asSunnah dan Imam Jalaluddin asSyuyuti (Tahdzirul Khawasy min akazibil Qasyasy).
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahli Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.Wassalam..
Sumber asal :izoblog.com
Labels:
Bicara Ilmu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment