Assalamualaikum..
Ramadhan ni aku semacam seronok mengkaji dan mendalami kisah lagenda bergelar manusia lupa daratan yang allah beri kekayaan,tapi kufur akibatnya segala kekayaan Allah lenyapkan sekelip mata.Al-Qur’an memperkenalkan Qarun sebagai orang yang berasal dari kaum Nabi Musa (a.s.). Meskipun datang dari kaum yang sama (Bani Isra’il), mereka tidak sehaluan. Sementara Musa (a.s.) adalah pemimpin-pembela kaumnya, Qarun pula adalah penindas dan pemeras kaumnya sendiri.
Qarun juga dikatakan mempunyai posisi politik yang cukup strategik. Sebagai salah seorang anggota kabinet Fir’aun, tentu sahaja beliau telah menggunakan posisi politiknya itu untuk mengaut keuntungan peribadi. Selain itu ia juga mempunyai cita-cita politik mengambil alih kedudukanMusa (a.s.) sebagai ketua kaum Bani Isra’il.
Al-Qur’an memberikan pemerian tentang penampilan Qarun yang suka mempamerkan kebesaran dan kekayaannya.
Kebiasaan ini dilakukan bukan tanpa motif tertentu. Ia adalah suatu strategi menarik perhatian ramai agar ia dikagumi sebagai wira dan idola.
Dengan mempamerkan kekayaannya ia juga bermaksud menghantar mesej bahawa ia mampu melakukan segala-gala, mengupah, membeli dan membiayai apa sahaja dan berapa sahaja. Seolah-olah ia mahu memberi amaran kepada sesiapa sahaja, jangan cuba-cuba mencabar aku!.
Dalam pemerian selanjutnya al-Qur’an menyebut tentang adanya kelompok yang memang mengagumi Qarun; iaitu golongan mata duitan yang terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan cara apa sahaja. Bagi kelompok materialistik ini, Qarunlah yang menjadi idola pujaan. Mereka ingin menjadi Qarun, kerana ia adalah lambang kejayaan seorang usahawan, kejayaan yang hanya diukur dari jumlah yang tertimbun, tanpa mengambil kira dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.
Qarun memang menjadi idola oleh para pengagumnya, tetapi pada hakikatnya fenomena keqarunan adalah gejala kehancuran. Kerana itu Qarun mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragik, hancur luluh ditelah bumi.
Al-Qur’an memberikan gambaran, bagaimana Qarun terbenam ke dalam bumi bersama rumahnya sekali.
Dari sekian banyak hartanya yang turut musnah, al-Qur’an secara khusus menyebut rumahnya. Mungkin rumah mewahnya (pintu-pintunya diperbuat daripada emas) itulah yang menjadi simbol kekayaan dan kebanggaannya selama ini. (al-Qasas: 76-81). Qarun memang bersalah kerana memeras, menyalahgunakan kekayaan untuk membiayai kegiatan-kegiatan khianat dan pelbagai kezaliman lain lagi. Tetapi ada lagi yang wajar disalahkan, iaitu sistem yang mengizinkan fenomena keqarunan itu berlaku. Sumber – Dr Siddiq Fadzli
Rujukan Al-Barawiy, Rashid, 1978. Al-Qasas al-Qur’aniy: Tafsir Ijtima’iy. Kaherah: Dar al- Nahdah al-‘Arabiyyah
No comments:
Post a Comment