Tuesday, March 9, 2010

Matinya seorang Insan


Assalamualaikum..


Membicarakan perihal kematian akan membuatkan kita terdiam sejenak, kelu dan hilang kata-kata sewaktu rancak berbicara.Sesiapa sahaja yang sedang asyik ketawa dan berbicara tentang perihal dunia maka pastinya akan terdiam atau sekurangnya merasa kurang enak apabila kita berbicara tentang kematian.

Kematian

"(Dialah) yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". (Al-Mulk: 2).Cubalah berbicara tentang meninggal dunia, mengingati orang-orang sekeliling kita yang telah pergi mengadap Allah, jasad yang kaku, hilang segala-galanya hubungan dengan kehidupan.

Fikirkan pula tentang kubur, ruangan yang kecil, perlahan-lahan jasad diturunkan ke dalam lubang lalu ditimbus. Gelap gelita, sempit sehingga sesak nafas, apa masih bernafaskah ? Ruangan yang gelap dan kehidupan yang tidak pasti apa akan berlaku seterusnya di hadapan. Kehidupan lalu di dunia semuanya terputus dan hilang tanpa ada upaya kembali walau sesaat untuk menguruskan apa yang belum sempat.

Tiada masa dan tidak akan ada peluang untuk membetulkan kembali kesalahan lalu, apakah masih berpeluang merangkak keluar dari kubur dengan jasad yang sudah tiada nyawa, tiada darah mengalir, badan yang sejuk kaku dan lama-lama membusuk ?
Masih berpeluangkah merangkak keluar dan kembali ke dunia dan kembali ke sisi keluarga untuk mengucup pipi ibu dan ayah bagi melepas rindu ? atau memeluk isteri barang sekali dua melepas rasa dendam kasih atau mencium anak-anak dan mengusap wajah dan kepala mereka sekejap cuma ?


Punyai waktu lagikah untuk menguruskan beberapa kerja yang tertangguh yang belum sempat disiapkan disebabkan datangnya malaikat mencabut nyawa dengan begitu cepat tanpa sempat membuat persediaan dan tanpa pemberitahuan ?

"Tiap-tiap umat memiliki ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat pula mempercepatkannya" . (al-A’raaf: 34).

Kematian datang secara tiba-tiba dan tiada sesiapa dari kalangan manusia yang tidak terkejut dengan mati kecuali orang yang benar-benar beriman dan berjuang di jalan Allah yang mengharapkan kematian kerana Allah swt.

Kematian boleh berlaku dengan kemalangan, kecederaan atau sakit atau kadang-kadang tergempar dan tiba-tiba begitu sahaja. Maka hendaklah difahami bahawa tujuan hidup ini ialah beribadah dan melaksanakan satu misi khusus iaitu menjadi hamba dan beribadah kepada Allah swt sehingga mendapat redha-Nya dan memenuhi tanggungjawab kepada-Nya.

"Apakah manusia mengira, bahwa dia akan dibiarkan sia-sia?" (al-Qiyamah: 36)


Berkata Imam Syafi’i (ketika menafsirkan ayat ini): “Makna sia-sia adalah tanpa ada perintah, tanpa ada larangan.” (Tafsirul Quranul Karim, Ibnu Katsir, jilid 4, cet. Maktabah Darus Salam, 1413 H hal. 478) .

Ayat ini sudah dijawab oleh Allah swt dengan ayat yang lain apabila Allah menyebut : "Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada-Ku." (adz-Dzariyat: 56).

Penciptaan manusia ini sememangnya untuk beribadah dan menjalankan kewajipan kepada Allah swt tanpa mempedulikan apa pandangan manusia dan penghinaan yang diterima.

Seseorang yang akan mati maka tetap akan mati tetapi hendaklah berusaha mencapai kematian yang baik. Bagaimanakah kematian yang baik ? Apakah mati di atas tilam dalam pelukan isteri ? Mati di Mekah di dalam Ka'bah atau mati di dalam Masjid ? atau Mati di dalam loji najis atau mati di dalam Kereta kerana kemalangan atau di atas katil kerana sakit atau di atas jalan kerana ditembak oleh musuh Allah ??
Kematian yang baik ialah apa yang disebutkan oleh Allah swt di dalam kitab-Nya :


"Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kalian mati melainkan kalian mati dalam keadaan Islam". (Ali Imran: 102).

Selama kematian itu dalam Islam dan kerana Islam maka tidakah mengapa keadaan mati itu kerana bukan cara mati itu baik digantung, ditembak, dibunuh, kemalangan itu yang menjadi perkiraan sebaliknya keadaan diri dan iman dan agama kita sewaktu mati itu yang menjadi nilaian Allah swt.Semoga dapat sama-sama kita renungkan.

Monday, March 8, 2010

20 amalan murah rezeki


Assalamualaikum..

Semua orang impikan rezeki yang banyak, mudah, berkat serta makmur, termasuklah saya. Dalam pekerjaan kita seharian mencari rezeki, mestilah sentiasa niatkan dalam hati supaya Allah mengurniakan kita dengan rezeki yang halal, berkat, mudah serta luas. Terdapat amalan-amalan yang boleh menjadi sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW : “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah SWT

Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “...(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Rasulullah SAW juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW : “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah SAW : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla
kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah ali-Imran, ayat 145)

17. Mengamalkan zikir dan membaca Al-Quran

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa(bermunajad)

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (Surah at-Thalaq, ayat 3)
Nabi SAW bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Talaq, ayat 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Friday, March 5, 2010

Tanjung Agas Muar sana.


Assalamualaikum,
Petang tadi aku ngan omi ngan soki lepak jap sambil makan lunch pukul 5 pm kat tanjung agas...sebab aku tak lunch tengahari tadi.Dalam perjalanan cuaca sungguh best,alangkah besar kuasa Allah bila sampai sana hujan panas,so sesi fotografi tak dapat diteruskan dan nak menjelajah pantai berbatu kat tanjung pun aku tak menyempat.
Pantunnya berbunyi begini..

Silau mata dipanah mentari,
Mentari pagi menyilaukan mata,
Tanjung Aggas dah tak best lagi,
Kenapa dulu aku pegi best?...

Kucing hitam dimakan semut,
semut hitam minum nes,
aku pegi time air surut,
Mana ada lokan..

Apek medan pakai jeans,
sikat rambut pakai selipar jepun,
kan air tu cuma seringgit,
sapa suruh bagi sembilan posen,mana lagi seposen..?

Kasut aku lupa nak polish,
Kasut kau tak payah basuh dah lawa,
cepat kemaskan baju dan seluar,
kain kat umah alamat kena hujan..

Makan mee bandung muar rasa manis,
laksa johor buat serapan,
malas aku nak pesan lagi,
selalu tak ingat nak bawak hempon.

oklah...aku tak harapkan balasan semua pantun aku ni..cuma sekadar hiasan je..anyway kalau anda pandai berpantun silalah masuk pertandingan pantun peringkat kebangsaan...
hehehe...aku nak tengok mega movie...