Assalamualaikum...
Imam Muslim telah menukilkan sebuah Hadis Shahih di dalam kitabnya tentang penemuan Dajal Laknatullah ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Salah seorang sahabat Nabi SAW yang baru sahaja memeluk agama Islam telah menceritakan kepada Baginda SAW tentang penemuan tersebut. Lalu Baginda SAW berkhutbah kepada semua orang Islam di satu ketika.
Hadis ini diriwayatkan oleh Fathimah binti Qais, satu ketika beliau pergi mengerjakan solat berjemaah di masjid dan beliau berada di tempat solat wanita. Ketika itu Nabi SAW mengimami solat, dan setelah selesai daripada solat, Baginda SAW naik ke atas mimbar dan berkhutbah.
Maksud Hadis
Nabi SAW bertanya : “Adakah kamu semua tahu, kenapakah aku menghimpunkan kamu?”
Para sahabat RA menjawab : “Allah SWT dan RasulNya yang lebih mengetahui”
Nabi SAW bersabda :
“Demi Allah, aku bukanlah menghimpunkan kamu semua untuk memberi galakan atau tegahan, tetapi aku menghimpunkan kamu kerana Tamim ad Dariy, seorang lelaki daripada Nasrani (datang kepadaku). Lalu dia datang (kepadaku) lalu berjanji taat setia dan terus memeluk Agama Islam. Dan dia (Tamim ad Dariy) telah menceritakan kepadaku tentang satu cerita, yang selari dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu tentang Masih ad Dajjal. Dia (Tamim) menceritakan kepadaku bahawa dia telah mengemudi sebuah kapal laut bersama lelaki dari kalangan yang menjengkelkan dan mengidap kusta. Lalu mereka dialun ombak selama sebulan berada di tengah-tengah lautan. Lalu mereka terdampar di sebuah pulau ketika matahari terbenam. Kemudian mereka (turun dan) duduk berhampiran kapal, dan mereka pun masuk ke dalam pulau tersebut. (ketika berada di dalam pulau tersebut), mereka terjumpa seekor binatang yang terlalu lebat dan banyak bulunya, mereka tidak tahu yang mana bahagian hadapan (tubuh) dan belakangnya (iaitu tidak kenal bentuk rupanya kerana sangat pelik dan) kerana terlalu banyak bulunya.
Mereka bertanya (kepada binatang tersebut) : Celakalah kamu! Kamu ini binatang jenis apa?
Binatang tersebut menjawab : Aku adalah al Jassasah.
Mereka bertanya : Apakah al Jassasah itu?
Binatang itu berkata : Wahai kamu semua! Pergilah berjumpa dengan manusia yang berada di dalam tempat pertapaan (bilik) ini. Dia sangat memerlukan maklumat daripada kamu.
Tamim ad Dariy menceritakan lagi kepada aku (Nabi SAW) : Setelah binatang tersebut menceritakan tentang ciri-ciri manusia yang berada di dalam bilik itu, kami pergi meninggalkannya berkemungkinan binatang itu adalah syaitan. Lalu kami segera masuk ke dalam, sehinggalah memasuki bilik tersebut. Di dalamnya terdapat seorang manusia yang paling besar pernah kami lihat yang dicipta (di dunia), dan sangat teguh, tangan sehingga leher dan lutut sehingga tumit dirantai dengan besi.
Kami bertanya : Celakalah kamu! Siapakah kamu ini?
Manusia itu berkata : Sesungguhnya kamu telah mengenali tentang diriku, maka ceritakanlah tentang kamu semua?
Mereka menjawab : Kami adalah manusia berbangsa Arab, yang pergi belayar di atas lautan, lalu kami telah sesat (hilang arah) laut ketika kami sedang leka (hilang arah atau sesat), maka ombak lautan mengalunkan kami selama sebulan sehinggalah kami terdampar di pulau kamu ini, lalu kami turun daripada kapal (bermalam) dan kami masuk ke dalam pulau. Kami ditemui oleh seekor binatang besar yang sangat banyak bulunya, (bentuk yang pelik) dan tidak diketahui bahagian depan atau belakangnya kerana banyaknya bulu. Kami bertanya : Celakalah kamu! Siapakah kamu? Dia menjawab : Aku adalah al Jassasah. Kami bertanya lagi : Apakah itu al Jassasah? Dia menjawab : Pergilah menemui lelaki yang sedang berada di dalam bilik pertapaan ini, sesungguhnya dia sangat memerlukan maklumat daripada kamu. Lalu kami meninggalkan dia, dan kami tidak tenteram kerana berkemungkinan dia adalah syaitan.
Manusia itu bertanya : Ceritakan kepadaku tentang pelepah tamar Baisan.
Kami bertanya : Berdasarkan bentuk apakah yang kamu ingin kami ceritakan?
Manusia itu menjawab : Aku bertanya kepada kamu tentang pelepahnya, adakah ia sudah berbuah?
Kami berkata kepadanya : Ya..
Dia berkata : Sesungguhnya ia tidak akan berbuah lagi dalam masa terdekat.
Dia bertanya lagi : Ceritakan kepadaku tentang Tasik Thabari.
Kami bertanya : Berdasarkan bentuk apakah yang kamu ingin kami ceritakan?
Dia berkata : Adakah masih terdapat air di situ?
Mereka menjawab : Di tasik tersebut terdapat banyak air.
Dia berkata : Sesungguhnya air di situ akan mengering dalam masa terdekat.
Dia bertanya lagi : Ceritakan kepadaku tentang Ain Zughar (Sebuah Bandar di Syam yang mempunyai sumber air dari dalam bumi).
Mereka bertanya : Berdasarkan bentuk apakah yang kamu ingin kami ceritakan?
Dia berkata : Adakah di Ain itu masih terdapat air? Adakah penduduknya masih bercucuk tanam dengan air tersebut?
Mereka berkata kepadanya : Ya, ia masih mempunyai banyak air dan penduduknya masih bercucuk tanam dengannya (air tersebut).
Dia bertanya lagi : Ceritakan kepadaku tentang seorang Nabi SAW yang tidak tahu membaca dan menulis, apakah yang dia lakukan?
Mereka menjawab : Dia telah keluar dari Mekah dan mendiami di Madinah.
Dia bertanya : Adakah Bangsa Arab memeranginya?
Kami menjawab : Ya
Dia bertanya lagi : Bagaimanakah dia (Nabi SAW) menghadapinya (serangan arab tersebut)?
Kami menceritakan kepadanya bahawa dia (Nabi SAW) muncul di kalangan generasi muda Arab, lalu mereka mentaatinya.
Dia berkata lagi : Adakah terjadi sedemikian?
Kami berkata : Ya
Dia berkata : Sesungguhnya itulah yang terbaik bagi mereka ialah mentaatinya, dan aku menjadi pemberitahu tentang diriku, aku adalah al Masih. Aku hampir-hampir dibenarkan untuk keluar (menyesatkan manusia), lalu (setelah aku dibenarkan, aku akan) keluar menjelajah ke seluruh dunia, dan aku tidak membiarkan sebuah kampung pun, melainkan aku mencerobohinya, (semuanya) berlaku dalam tempoh 40 hari, kecuali Mekah dan Taibah (iaitu Madinah, yang kedua-duanya tidak aku masuki). Kedua-duanya diharamkan kepadaku (untuk mencerobohinya). Setiap kali aku ingin memasuki salah satu daripadanya, aku terjumpa Malaikat (yang menjaga) dengan pedang terhunus di tangannya, menghalang aku daripada memasukinya. Dan sesungguhnya di setiap sudut terdapat malaikat yang menjaganya….” (Shahih Muslim : 6/119)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Dajal Laknatullah sudah berada di dunia ini semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Dajal Laknatullah berada di sebuah pulau yang tidak dapat diketahui lokasinya yang dijaga oleh seekor binatang besar yang lebat bulunya. Dia dirantai di dalam sebuah gua dan tidak dibenarkan keluar sehinggalah sampai saat kemunculannya di akhir zaman untuk merosakkan manusia di dunia ini.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Suber asal:http://ibnuirfadzil.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment